KEBAHAGIAAN itu impian setiap orang. Siapa yang tidak ingin bahagia? Semua orang menyimpan hasrat untuk mengecapinya.
Namun ada sesetengah merasa sukar untuk mencapai kebahagiaan. Kenapa?
Antara sebabnya adalah kerana kita mula membandingkan hidup kita dengan orang lain.
Memang sudah lumrah kehidupan manusia pasti akan cuba membandingkan kehidupannya dengan orang lain.
Tanpa sedar, perbuatan itu sebenarnya mempersoalkan apa yang telah kita ada. Juga mempersoalkan apa yang Allah telah beri.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (QS. al-Baqarah: 243)
Seterusnya firman Allah SWT:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur."
(QS 67:23)
Hidup bukan perbandingan tetapi hidup adalah perjalanan.
Perjalanan hidup kita tiada kaitan dengan orang lain. Setiap orang mempunyai jalan hidup yang berbeza dan cara yang berlainan menempuhnya.
Jangan bersedih bilamana kehidupan kita tidak seperti yang diharapkan kerana Allah lebih tahu apa yang terbaik buat kita. Kita tidak pernah tahu bagaimana hidup kita pada masa hadapan.
Hiduplah untuk diri sendiri kerana setiap dari kita adalah insan istimewa yang dipilih oleh Allah.
Bertenang dan sentiasalah senyum....
Allah itu Maha Adil
Kita semua istimewa dipandanganNya...